Untaian Ayat Pembuka Bicara
Ramadan datang bertamu dan tidak pernah rasa jemu kepada kita. Kehadirannya sarat membawa pelbagai juadah ahli syurga yang kelihatan menyusahkan dan mengganggu aktiviti harian kita. Seawal 4 pagi dengan acara sahurnya, bertahan perut dengan kelaparan, tekak dengan kehausan, mata dengan panahan pandangan keghairahan, telinga dengan alunan yang melalaikan, tangan dengan sentuhan kemaksiatan, kaki dengan langkahan kejahatan dan hati dengan satu arah pemfokusan. Menjelang 7.30 malam agenda berbuka bermula dengan pelbagai hidangan yang mampu menggugat jiwa. Kemudian solat maghrib didirikan dengan rasa kekenyaan yang kadangkala menyesakkan nafas dan prestasi diri. Solat Isyak muncul diikuti solat tarawih dan witir yang menuntut kesabaran yang tinggi. Pengorbanan masa dan keletihan tidak habis lagi, bersambung dengan tadarrus hingga melepasi 11 malam malah terbabas hingga 12 tengahmalam pabila disudahi dengan moreh dan sesi mengemas lokasi moreh serta tempat ibadat. Begitulah plot rutin kehidupan seorang hamba mengharungi Ramadan. Persoalannya mengapakah kita sanggup melakukan semua ini? Jawapannya ayuh bersama saya..jangan ke mana-mana untuk kita memberikan makna ibadat puasa dan memperkasakan pengisian Ramadan agar benar-benar berprestasi tinggi dan berstatus khusus lagi khusus.
Ungkapan Maksud & Konsep Ramadan
Ramadan memberikan makna kepanasan yang teramat. Digandingkan dengan Siam yang menjelaskan konsep menahan diri dengan kekuatan sabar, sanggup berlapar dan dahaga, berkorban masa serta apa yang terdaya dan merasakan suatu paksaan dalam diri yang wajar disudahi hingga 29 atau 30 hari. Hasilnya kepanasan fizikal, tubuh badan akibat lapar dan dahaga hingga mampu membangkitkan suatu perasaan sanggup buat apa sahaja atas tawaran pahala dan syurga Rayyan menjadikan Ramadan dan segala yang sarat di dalamnya mampu menjadikan kita bermotivasi untuk beramal. Itulah hebatnya ibadat puasa dalam bulan Ramadan.
Apakah yang kita cari? Apakah yang kita dapat?
Sewajarnya Tarbiyyah Ramadan menjadikan kita berubah dan kembali kepada asal ketulinan insani yang tidak suka pada kejahatan dan gemar membuat kebaikan. Latihan dan didikan Ramadan sewajarnya menjadikan kita memiliki kekuatan jati diri iman yang utuh, kejernihan hati yang tulus, kemantapan minda yang fokus, keluhuran emosi menghayati erti kefakiran dan kemiskinan, kekudusan nilai perhambaan yang takut pada Tuhannya dan kesantunan nilai budi yang terpuji.
Selayaknya kita berubah daripada watak-watak lama yang boleh menyumbang kepada lupa matlamat hidup kepada sedar apa tujuan hidup. Berubah daria segala cengkaman sifat dendam, kemarahan sifat amarah, iri hati, hasad, negatif pada perkara-perkara baik, merasa ego, bongkak, bangga diri, tidak boleh menerima teguran, sukar bersama elemen kebaikan dan melebihkan kepentingan diri daripada kepentingan kolektif.
Sepatutnya kita lebih berkasih sayang, bersaudara, sedia memberi daripada menerima, banyak menyumbang daripada menyembang, berfikir, berzikir, mencari titik-titik persamaan bukan titik-titik perbezaan, mengingati kebaikan orang kepada kita, menginsafi keburukan kita pada orang lain, bukan kerana satu dua keburukan kita sanggup membunuh erti persaudaraan hingga melupakan seribu kebaikannya.
Sewajibnya Solat dipelihara sebagai tiang agama, Qur’an dibaca sebagai makanan jiwa, perkara yang boleh merosakkan dan memudaratkan dinyahkan dalam kehidupan sebagai satu kemestiaan, tugasan sebagai pendidik dihayati sebagai satu amanah dan kewajipan, nasihat-menasihati menjadi budaya yang membangkitkan kesedaran, tegur-menegur ke arah kebaikan menjadi satu amalan, lengkap-melengkapi menjadi agenda kecemerlangan, hormat-menghormati asas kepada semangat berpasukan dan utamakan pertimbangan agama dalam membuat keputusan.
Kemuncak Ramadhan membuah dan menyuburkan rasa perhambaan dan ketaqwaan yang ditandai dengan berhati-hatinya kita bila membuat keputusan dalam hidup. Pertimbangan yang dirujuk kepada neraca syariat akan menjadikan kehidupan kita terarah kepada nilai baik, mengundang kebajikan dan menolak jauh kemaksiatan. Hati dan segala gerakan naluri sentiasa melihat dwi visi. Memburu kecemerlangan di dunia dalam kerangka kecemerlangan akhirat, bukan mengorbankan salah satu antara keduanya.
Bagaimana caranya?
Masih belum terlewat untuk mohon keampunan kepada Allah swt atas segala keterlanjuran tindakan, mohon kemaafan kepada rakan taulan atas penyimpangan nilai keinsanan hingga membawa kesilapan dan kealpaan, menyusun strategik tindakan baru untuk mengembalikan bahtera kehidupan kepada landasan, ikhlaskan diri untuk memperkasakan keinsafan bagi meraih selautan kemuliaan dan kerahmatan, memujuk diri untuk mengutamakan Allah swt dalam dakapan keredhaan dan bersedia berkorban apa jua yang terdaya demi memburu status orang bertaqwa sebagai satu gelaran. Memikirkan kembali amalan, budaya dan citra hidup kita agar yang halal diburu, yang wajib dilaksanakan tanpa kompromi, yang syubahat dijauhi untuk selamatkan iman, yang haram dinyahkan dalam hidup tanpa melihat kerugian sementaranya, yang makruh disisihkan walaupun kesannya tidak seberapa, yang sunat disisipkan dalam amalan bagi tujuan tambah nilai dan yang harus terserah untuk ditinggalkan atau dilaksanakan.
Penutup bicara keinsafan
Jutaan kemaafan dipinta atas segala kesilapan yang telah berlaku. Bermula dari perkataan, keputusan yang diberikan, tindakan yang menyusahkan dan segala macam perkara yang sukar diungkapkan membolosi sempadan kemakrufan. Bersama kita membina ketinggian budi melalui tarbiyah ilahi, menyusuri jalan-jalan insan terpuji, semangat tinggi memburu syurga firdausi, menggenggam syariat dalam memutuskan setiap segi, berusaha untuk membudayakan hidup berkualiti, bersama organisasi mencipta kecemerlangan sejati, menjinakkan hati untuk terus berbakti dalam kerangka redhamu ilahi di bumi PSIS yang kita sayangi……
Selamat Meneruskan Perjuangan Di Penghujung Ramadan & Menyambut Hari Kemenangan Kembali Kepada Fitrah pada 1 Syawal 1431. Ayuh Teruskan Budaya Menahan Diri Dalam Bulan-Bulan Yang Akan Datang Sehingga Bertemu Ramadhan 1432. Semoga Kita Terpilih Menjadi Hambanya Yang Benar-Benar Mendapat Gelaran Soleh Dan Solehah
















