Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia. Syukur ke hadrat Illahi di atas limpah dan kurniaNya, PSIS telah berjaya mengharungi tahun 2011 dengan beberapa kejayaan yang membanggakan. Setinggi penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada semua warga PSIS di atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan bagi memastikan segala yang dirancang sepanjang tahun 2011 telah dapat direalisasikan.

Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada Sidang Redaksi dalam usaha menyumbang input dan idea bagi menerbitkan Laporan Tahunan 2011 ini.

Tahun 2011 melabuhkan tirainya dengan pelbagai pencapaian berasaskan Business Plan 2011 dan Pelan Strategik PSIS yang dilaksanakan. Pencapaian tersebut adalah kejayaan PSIS dalam usaha untuk memastikan Program Transformasi Politeknik selaras dengan Perancangan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi melonjakkan politeknik sebagai institusi peneraju bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional dalam menjana kebolehpasaran sumber manusia. PSIS telah membelanjakan RM23,489,306.61 peruntukan Anggaran Belanja Mengurus dan Pembangunan bagi mencapai hasrat tersebut.

Dalam meneruskan aspirasi dan memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan pihak industri bagi mencapai visi dan misi politeknik, PSIS juga telah berjaya mengadakan perjanjian persefahaman dengan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd melalui Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU). Jaringan kolaborasi ini adalah bertujuan memperkukuhkan jaringan kerjasama serta kepakaran dalam rawatan dan teknologi air sisa bagi membangunkan bidang tujahan iaitu program Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar yang satu-satunya dilaksanakan
di Politeknik Malaysia iaitu di PSIS.

Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam memastikan program yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya. Semoga
usaha dan komitmen bersama dan berterusan dapat menjadikan PSIS sebuah institusi yang cemerlang dalam memastikan agenda transformasi Politeknik khususnya dan tranformasi Negara
amnya tercapai.

Sekian,

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


“PSIS - Penjana Sumber Insan Sejagat”


SULONG BIN YAHYA